JANGAN TOLAK
>> Monday, 22 June 2009
Pada Isnin, 29 Jun 2009 merupakan hari sulung bagi peserta KDP, Guru Bestari, Kohort 3/2009 di IPG Tawau. Tentunya sudah ramai peserta hari ini menerima surat panggilan ke kursus berkenaan. Ada yang sedikit menggelabah, ada juga yang belum dapat memutuskan sama ada hadir atau sebaliknya dan tidak kurang juga yang menolak!
Berkongsi pengalaman saya, saya telah dua kali menerima tawaran dan setiap tawaran saya tolak, atas alasan terlalu banyak program sekolah yang perlu dilaksanakan disamping kursus- kursus yang perlu dihadiri. Namun pada tawaran ketiga (Kohort 2/2009) saya tidak lagi menolak lantas menghadirinya, itu pun saya terlambat sehari. Dijangkakan seramai 25 peserta akan menghadiri kursus berkenaan, malangnya hanya 8 peserta sahaja yang berjaya menghadirinya. Kursus ini hampir- hampir dibatalkan, nasib menyebelahi kami, kursus diteruskan!
Selama 4 minggu mentelaah mengenai bestari, saya dan tujuh rakan saya mula menyedari tentang kepentingan dan manfaatnya hadir di kursus ini. Disamping dapat meraih kawan baharu, menimbah ilmu, mengembalikan nostalgia semasa menuntut di maktab (sekarang IPG) saya dapat kesegaran baharu dalam jiwa saya sebagai pendidik. Ianya memuhasabahkan diri saya untuk melihat sejauh mana saya 'pergi' di dalam kerjaya saya sebagai guru.
Andainya semua guru dapat melihat dan merasa 'keindahan' yang tersirat dalam kursus ini, guru- guru akan berlumba- lumba untuk hadir di mana- mana IPG yang menawar kursus ini di Sabah.
Kursus ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan baharu secara sistematik tentang pengajaran dan pembelajaran selaras dengan perkembangan teknologi maklumat (TMK) hari ini. Ia juga memberi input tambah nilai yang baik dan bertenaga untuk merangsang minda kita sebagai seorang pendidik.
Jika ANDA mendapat tawaran ini, janganlah sekali- kali menolak. Kalau saya tahu manfaat kursus ini begini, saya tak akan menolak semasa panggilan saya yang pertama dahulu. Kepada Briged Bestari 008, saya bersyukur kursus ini mempertemukan kita berlapan untuk manfaat yang lebih besar. TAHNIAH!